29 April 2003
27 Safar 1424
Utusan Express
Utusan Malaysia
 

Search Archives
Feedback
Corporate Info


 keluarga

Perunding kewangan - Niki buktikan kemampuan

Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM


Niki Shuhada Shukor.

Secara umum, tidak ramai di kalangan kita yang mengambil berat tentang perancangan kewangan yang melibatkan pelaburan secara serius.

Jika mengenepikan sebahagian daripada wang gaji ke dalam akaun simpanan setiap bulan agak liat, apatah lagi untuk mencari seorang ejen khusus bagi tujuan tersebut.

Namun, hakikat sektor perancangan kewangan bukan sekadar memberi keuntungan kepada pelabur, malah menawarkan pendapatan lumayan kepada perunding.

Apa yang penting, usaha gigih tanpa mengenal rasa putus asa di samping minat serta komitmen yang mendalam untuk tempoh jangka panjang.

Bagi Pengurus Agensi Kumpulan, BHLB Pacific Trust Berhad, Niki Shuhada Shukor, 35, kejayaan yang dicapai bukan datang bergolek, sebaliknya melalui kerja keras yang berterusan.

Malah, keinginan untuk mengubah hidup ke arah yang lebih baik turut menjadi pendorong untuk beliau meraih anugerah tertinggi sebagai perunding kewangan.

Menurut beliau, kerjayanya bermula sekembali dari London selepas tiga tahun menetap di sana kerana mengikut suami, Amirul Shukry Kadri.

Keperitan di rantau dengan kos hidup yang tinggi mengajarnya tentang betapa penting perancangan kewangan jika ingin berjaya.

``Minat untuk menjadi usahawan telah ada sejak di bangku sekolah lagi, tapi kesusahan hidup di rantau benar-benar membuatkan saya ingin berusaha lebih gigih.

``Dari situ saya banyak membaca buku-buku tentang perancangan kewangan dan mula belajar berjimat cermat serta menyimpan wang,''katanya.

Kejayaan

Diperkenalkan oleh seorang rakan kepada BHLB Pacific Trust pada tahun 1997 sebagai perunding kewangan, Niki berjaya mencapai anugerah Premier Club President dua tahun kemudian.

Kejayaan tersebut telah melayakkan beliau membuka agensi perundingnya sendiri dengan di bawah nama NSG Premier Consultants pada tahun 2000.

Malah, dalam tempoh enam tahun di dalam sektor perancangan kewangan, beliau telah menerima 17 anugerah seperti Master Builder 2002, Top Group Agency Manager 2002 dan lain-lain lagi.

Meskipun layak berbangga dengan pencapaian di samping mempunyai agen sendiri, Niki tetap keluar mencari pelanggan sebagaimana perunding yang lain.

Setiap hari, beliau menghabiskan masa pada waktu pagi untuk turun padang, manakala waktu petang di pejabat untuk berbincang dengan perunding-perunding di dalam kumpulannya.

``Kerjaya ini amat bermakna kerana ia bukan sekadar memberikan kebebasan waktu kerja tetapi meningkatkan kualiti hidup saya secara keseluruhan.

``Melaluinya, saya belajar menghargai diri sendiri, orang sekeliling kita serta berkomunikasi dengan cara terbaik,'' jelasnya.

Di samping pendapatan yang lumayan, kerjaya tersebut juga dianggap sebagai satu usaha untuk membantu orang ramai memperoleh keuntungan melalui pelaburan.

Bagi Niki, khidmat sebagai penasihat kewangan amat perlu memandangkan ramai yang ingin melabur tetapi tidak tidak tahu bagaimana dan di mana tempat yang selamat serta diiktiraf kerajaan.

``Berjumpa pelanggan di luar bukan untuk menjual barang tetapi sebagai satu proses mendidik mereka tentang betapa perlu merancang kewangan untuk gaya hidup yang lebih selesa.

``Apabila mereka sudah terbuka minda, dengan sendirinya mereka sanggup melabur serta bersabar menunggu pulangan,'' katanya lagi.

Selain itu, jelas Niki, kerjaya perunding kewangan turut mendidik seorang untuk menjadi usahawan serta memberi pulangan yang setimpal dengan usaha yang dilakukan.

Menurut ibu kepada anak perempuan berusia dua tahun, Elaine Zahra, di samping tidak terikat dengan waktu kerja, kejayaan juga diraih berdasarkan usaha.

``Berbeza dengan kerja-kerja di pejabat, untuk naik pangkat agak subjektif kerana walau sepatutnya berdasarkan pencapaian, namun tidak semestinya begitu. Di sini, sebanyak itu yang kita usaha, sebanyak itulah yang kita akan dapat kerana tiada sebarang sekatan apabila perolehan kumpulan kita mencapai tahap yang tinggi,''ujarnya.

Kini, terdapat kira-kira 1,600 perunding yang bernaung di bawah NSG Premier Concultants. Malah, suami beliau yang sebelum ini merupakan berjawatan jurutera turut menceburi bidang perancangan kewangan di bawah agensi yang sama dan meraih anugerah Top Agency Manager 2002.

Mengenai perancangan masa depan, Niki berhasrat untuk melatih perunding kewangan secara besar-besaran bagi melahirkan mereka yang mampu menawarkan khidmat profesional kepada pelanggan untuk jangka panjang.

Dalam masa yang sama, beliau juga berazam untuk melahirkan lebih ramai pengurus agensi kumpulan dengan pendapatan mencecah RM1 juta setahun.

Sehubungan itu, NSG Premier Consultants kini menawarkan kursus selama tiga bulan kepada mereka yang berminat untuk menjadi perunding kewangan.

``Kami sediakan latihan yang cemerlang dan berterusan di samping mengamalkan sistem yang membolehkan setiap perunding yang berada di bawah agensi ini sentiasa membantu antara satu sama lain untuk berkembang.

``Peluang ini terbuka kepada semua berminat. Tidak semestinya seseorang perlu ada latar belakang kewangan atau pengalaman. Apa yang penting kemahuan serta sedia mengikut tunjuk ajar yang diberikan,'' katanya.





 Iklan Skyscraper


© UTUSAN MELAYU (M) BHD., 46M, Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.
E-mail: [email protected]